ASSALAMUALAIKUM...
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan
cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan
minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik.
Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon.
Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi,
apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah
calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan,
jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang
kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat
kedukaan kita.
Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila
berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya.
Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3.Terima Kita Seadaanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli.
Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita
yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini.
Yang penting, siapa kita sekarang.
Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia
tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia
juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia
apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum
hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran
bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu
apabila dia menipu kita.
Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita.
Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu
hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada
berlaku curang kepada kita.
Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran
yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi,
dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu
dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita
mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita
selamat di tangannya?
Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu
sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat
apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding
rakan-rakan yang lain.
Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia
kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan
kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka
masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup
ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara
sama ada perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan
meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia
dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia
juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita
senang melakukannya bersama.
Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan.
Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita
yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini
menyusahkan?
7. Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya.
Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi
penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di
kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar.
Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang
gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia
mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, “lidah sendiri
lagikan tergigit”, inikan pula suami isteri’.
Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa
bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan
susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang
mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan
kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia
menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia
kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.
Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di
hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya
kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak
mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.
Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam
yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria
batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing.
Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat
menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin
dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan
untuk kita?
Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya
perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa.
Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk
melalui mimpi atau gerak hati.
Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang
Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah
dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah
keputusan sebaiknya.
Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah
bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya
diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di
dunia ini hanya sementara.
Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.